Monday, March 19, 2012

NASIHAT RASULULLAH KEPADA AISYAH R.A



‘Aisyah r.a meriwayatkan : Rasulullah SAW bersabda “Hai Aisyah, aku nasihatkan kepada kamu. Hendaklah kamu sentiasa mengingat nasihatku ini. Sesungguhnya kamu akan sentiasa di dalam kebajikan selama kamu mengingati nasihatku ini…”

Isi nasihat Rasulullah s.a.w tersebut bolehlah dirumuskan seperti berikut: Hai, Aisyah, peliharalah diri kamu. Ketahuilah bahwa sebagian besar daripada kaum kamu (kaum wanita) adalah menjadi kayu api di dalam neraka.

Diantara sebab-sebabnya ialah mereka itu :

(a) Tidak dapat menahan sabar dalam menghadapi kesakitan (kesusahan), tidak sabar apabila ditimpa musibah

(b) Tidak memuji Allah Ta’ala atas kemurahan-Nya, apabila dikaruniakan nikmat dan rahmat tidak bersyukur.

(c) Mengkufurkan nikmat; menganggap nikmat bukan dari Allah

(d) Membanyakkan kata-kata yang sia-sia, banyak bicara Yang tidak bermanfaat.

Wahai, Aisyah, ketahuilah :

(a) Bahwa wanita yang mengingkari kebajikan (kebaikan) yang diberikan oleh suaminya maka amalannya akan digugurkan oleh Allah

(b) Bahwa wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya, maka pada hari kiamat, Allah menjadikan lidahnya tujuh puluh hasta dan dibelitkan di tengkuknya.

(c) Bahwa isteri yang memandang jahat (menuduh atau menaruh sangkaan buruk terhadap suaminya), Allah akan menghapuskan muka dan tubuhnya Pada hari kiamat.

(d) Bahwa isteri yang tidak memenuhi kemahuan suaminya di tempat tidur atau menyusahkan urusan ini atau mengkhiananti suaminya, akan dibangkitkan Allah pada hari kiamat dengan muka yang hitam, matanya kelabu, ubun-ubunnya terikat kepada dua kakinya di dalam neraka.

(e) Bahwa wanita yang mengerjakan sholat dan berdoa untuk dirinya tetapi tidak untuk suaminya, akan dipukul mukanya dengan sholatnya.

(f ) Bahwa wanita yang dikenakan musibah ke atasnya lalu dia menampar-nampar mukanya atau merobek-robek pakaiannya, dia akan dimasukkan ke dalam neraka bersama dengan Isteri nabi Nuh dan isteri nabi Luth dan tiada harapan mendapat kebajikan syafaat dari siapa pun.

(g) Bahwa wanita yang berzina akan dicambuk dihadapan semua makhluk di hadapan neraka pada hari kiamat, tiap-tiap perbuatan zina dengan lapan puluh kali cambuk dari api.

(h) Bahwa isteri yang mengandung ( hamil ) baginya pahala seperti berpuasa pada siang harinya dan mengerjakan qiamullail pada malamnya serta pahala berjuang fi sabilillah.

(i) Bahwa isteri yang bersalin ( melahirkan ), bagi tiap-tiap kesakitan yang dideritainya diberi pahala memerdekakan seorang budak. Demikian juga pahalanya setiap kali menyusukan anaknya.

(j) Bahwa wanita apabila bersuami dan bersabar dari menyakiti suaminya, maka diumpamakan dengan titik-titik darah dalam perjuangan fisabilillah.

Semoga ahlia-ahlia (isteri-isteri) kita dapat mengambil nasihat Nabi pada Aisyah ini di dalam kehidupan mereka. Namun kita sebagai suami hendaklah selalu mendoakan agar ahli-ahlia (isteri-isteri) kita bersifat seperti isteri-isteri Nabi saw serta kita hendaklah juga selalu memaafkan kesalahan dan kesilapan mereka. Pernah seorang lelaki mendatangi Umar r.a untuk mengambil pandangan berkaitan masaalah isterinya yang banyak bersongeh dan berleter. Setelah sampai didapati isteri Umur r.a pun seperti isterinya suka bersongeh dan berleter. Lalu ia pun meninggalkan Umar r.a. Setelah berjalan beberapa langkah Umar r.a menyedari lalu memanggil lelaki itu datang semula menghampirinya.

Setelah diterangkan maksud kedatangannya lalu Umar r.a pun berkata,: "Siapa mereka, mereka adalah isteri kita. Mereka mendidik dan memelihara anak-anak kita. Merekalah yang menjaga harta benda kita. Mereka memasak makanan serta membasuh pakaian kita. Dan yang lebih penting mereka memelihara kita dari terjebak dengan zina. Sedikit kesilapan dan kesalahan mereka maafkanlah". Lalu lelaki itu pun pulang dengan perasaan puas dengan nasihat Umar r.a.

Wallahua'lam

Wednesday, February 08, 2012

Doa Selepas Mengambil Wudhuk



Asy hadu allailaha illallahu wahdahu lasyarikalah, wa asy hadu anna muhammadan ‘abduhu warasuluh. Allahummaj ‘alni manat tawabina waj ‘alni minal mutatahirin. waj ‘alni min abdikas solihin. Subhanakallahumma wabihamdika asy hadu alla illa anta astagfiruka waatubu ilaik. Wasollallahu ‘ala saiyidina muhammadiw waala alihi wasahbihi wassalam.

Maksudnya:

Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang esa tiada yang menyekutuinya. Dan aku menyaksikan bahawa Muhammad itu hamba dan pesuruhnya. Ya Allah , jadikanlah aku dari hambaMu yang soleh. Maha Suci Allah dengan sifat kepujianMu. Aku menyaksikan tiada Tuhan melainkan Engkau. Ku mohon ampun dan taubat padaMu. Dan Allah rahmati serta sejahterakanlah junjungan kami Muhammad, keluarga serta sahabat-sahabat Baginda.

“Sesiapa yang mengambil wudhuk dengan baik kemudian dia berkata, Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘Abdahu wa rasulluh, Allah hummaj ‘alni minat tawwaabin, waj’alni minal mutatohhiriin (maksudnya: Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah esa (Tuhan) saja tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya.

Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri), akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana dia suka.

(Hadis Riwayat Al-Tarmizi(50);Sahih:Sahih Al-Tarmizi(55) dan Al-Nasai(148);Sahih:Sahih Al-Nasai(148))

Monday, February 06, 2012

Guna Insya-Allah untuk menipu


"jemputlah datang rumah malam ini, ada kenduri arwah sikit"
"Insyallah saya datang"

"janji tau petang ni kita ke bandar"
"Insyallah..."

"Janji kamu taknak ulang kesalahan ini lagi!"
"Insyallah cikgu"


INSYA-ALLAH
maksudnya
JIKA ALLAH MENGIZINKAN






sedar tak sedar kita selalu menggunakan perkataan ini dalam kehidupan seharian. 'Insya-Allah' selalu saja meluncur keluar jika diminta berjanji. adakala dalam keadaan terdesak jika diminta membuat keputusan dalam masa yang singkat maka terluncur perkataan 'Insya-Allah' sepaya dapat memenangi hati penaruh janji.

adakah penggunaan istilah ini digunakan setepatnya?
secara terangnya, penggunaan perkataan ,Insya-Allah, sekeras-kerasnya dilarang penggunaannya untuk menipu ataupun cara untuk melarikan diri. gejala ini seakan-akan sudah menjadi kebiasaan yang mencerminkan paradigma kebobrokan mentaliti.

sesungguhnya penggunaan perkataan 'Insya-Allah' itu sendiri menunjukkan 90% kita berkata YA. cuma 10% adalah disebabkan oleh halangan yang tak dapat dielak seperti sakit, kemalangan, darurat, aral melintang, pokok tumbang, laut terbentang, nyawa melayang. maka, disebabkan ada manusia yang masih 50-50 dalam membuat keputusan sama ada YA atau TIDAK, maka kualiti dan taraf perkataan 'INSYA-ALLAH' ini terjatuh dan didiskriminasikan sebagai perkataan bagi mereka yang ingin menolak secara lembut. sekiranya masih ragu-ragu apa salahnya gunakan perkataan lain. contohnya "saya akan cuba usahakan", "saya akan fikirkannya kemudian" dan lain-lain.

JANGAN GUNAKAN NAMA TUHAN DALAM MENIPU!

menunaikan janji itu wajib. maka memungkiri janji itu satu tanda munafik. jangan gunakan nama tuhan dalam membuat janji palsu. elakkan berjanji palsu atas nama tuhan. sesungguhnya tanda-tanda munafik yang jelas ada disebut oleh Rasulullah

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “. Riwayat Ahmad


bagaimana jika sudah terlanjur berjanji palsu?
mohonlah kemaafan

Nukilan Dari: http://qamarulabdullah.blogspot.com

Sunday, February 05, 2012

Apakah Wujud Hukum Karma Dalam Islam ???

Assalamualaikum Warahmattullahi Wabaraakahtuh,


Gambar Hiasan

Apakah hukum karma?Adakah dalil yang menerima atau menolaknya?

Hukum Karma boleh didefinasikan sebagai pembalasan atas perbuatan yang dilakukan oleh seseorang samada ianya perbuatan baik atau buruk yang dibalas kembali menurut hukum alam atas apa yang telah seseorang itu lakukan. Jika ianya perbuatan baik, maka baiklah balasannya dan jika sebaliknya...maka buruklah pembalasan yang seseorang itu akan terima.

Dari segi bahasanya.....Hukum Karma ini bunyinya seakan-akan selari dengan ajaran agama Islam. Tetapi jika diselami dengan lebih mendalam, ianya sangat jauh berbeza dengan ajaran Agama Islam.

Pandangan Islam amat jelas melalui Firman Allah swt dalam Surah Az-Zalzalah ayat 99:7-8 maksudnya: Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula.

Tetapi harus diingat !!!...Apabila disebut Hukum Karma, ianya tidak boleh lari dari kepercayaan penganut- penganut agama Hindu akan pembalasan baik dan buruk ini.

Menurut kepercayaan agama Hindu, Hukum Karma atau the Law of Karma bermaksud "perbuatan". Karma yang baik diberi pahala dan yang buruk pula mendapat dosa dan akan menjelma dalam bentuk binatang.

Bagi setiap penganut Hindu, mereka perlu melakukan karma atau perbuatan yang baik agar terlepas daripada kelahiran semula yakni lahir semula ke dunia dalam bentuk binatang. Jika dilakukan perbuatan yang baik, maka mereka akan kembali Bersama Tuhan penciptanya iaitu Brahma di “Nirwana” atau Syurga menurut agama Hindu. Agama Hindu dan Buddha keduanya mempercayai akan “Hukum Karma” ini.
Selagi seseorang penganut Hindu itu gagal mencapai Karma yg baik, selagi itu dia akan alami kelahiran semula selepas memasuki neraka buat sementara waktu.

Ini sangat berbeza dengan ajaran islam. Islam berpandangan bahawa Pertama:, tiada istilah kelahiran semula ke dunia, manusia yang diciptakan Allah hanya hidup sekali sahaja di dunia ini dan hanya dibangkitkan di akhirat bagi Allah menghitung dan membalas amal perbuatan mereka semasa hidup di dunia ini samada masuk Neraka atau Ke Syurga. Oleh itu hukum karma itu tertolak dengan sendiri.

Mempercayai hukum karma menurut pandangan dan fahaman agama Hindu seperti dilahirkan semula ke dunia ini buat kali yang kedua boleh menyebabkan seseorang Islam itu terkeluar dari Agama Islam yang suci. Oleh itu adalah haram kita mempercayai kelahiran semula ini, kerana sesudah mati, kita akan menanti hingga datangnya hari pembalasan iaitu hari Kiamat.

Ada yang bertanyakan tentang konsep Kifarah dalam islam yang seakan sama dengan hukum karma.

Ok...maksud Kifarah ialah:
Kifarah adalah balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh seorang hambanya, juga ujian-ujian Allah itu boleh berlaku, yang mungkin melibatkan kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda ataupun penyakit, tidak kira sama ada penyakit tersebut berlaku dalam tempoh masa yang lama ataupun sekejap bergantung kepada ketentuan (qada’) Ilahi atau buat selama-lamanya sehingga mati. Selagi ketentuan (qada’) bagi sakit itu belum menepati qada’ Allah, maka sakit (kifarah) tadi tidak akan sembuh biarpun pelbagai usaha dilakukan oleh manusia jelas di.sini membuktikan bahawa ada di antara penyakit itu akan sembuh dengan sendiri biarpun tanpa usaha manusia untuk mendapatkan kesembuhan ataupun tidak akan sembuh biarpun banyak usaha untuk menyembuhkannya telah dilakukan.


Perlu kita faham....bahawa hukum karma menurut agama Hindu, jika berbuat jahat...akan dibalas seseorang itu dengan dihidupkan semula ke dunia ini dalam bentuk binatang. Manakala Kifarah dalam Islam...contohnya seperti maksud di atas dan...seperti dosa menderhaka kepada kedua ibu dan bapa...Allah S.W.T membayar CASH atau membalas perbuatan itu terhadap anak derhaka tersebut ketika hidup di dunia ini tanpa menunggu ia mati.
Tidakkah ajaran Islam itu sangat berbeza dengan hukum Karma tersebut.

Hukum karma adalah kepercayaan orang yang beragama Hindu. Kita sebagai orang Islam memiliki rukun Islam dan rukun Iman kita sendiri.
Kenapa harus kita mengambil hukum yang selain dari hukum Allah.

Firman Allah S.W.T,
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali Imran, 3: 19)
Dan firman-Nya lagi, “Barangsiapa yang mencari agama selain dari agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran, 3: 85)
Kerana itu jugalah Allah S.W.T. mengutuskan hamba dan Rasul-Nya, Muhammad S.A.W yang menjadi rahmat sekalian alam supaya mengajak Ahlul Kitab sama ada dari orang-orang Yahudi atau pun Nasrani (Kristian) serta golongan yang ummi dari kalangan orang-orang musyrik kepada jalan agama Allah iaitu Islam yang mengandungi petunjuk dan syari’at-Nya.

Thursday, February 02, 2012

Misteri Mayat Di Kubah Masjid Nabawi


Qubbatul Khadhra’ (kubah hijau) yang terlihat megah di Masjid Nabawi berfungsi menaungi makam Rasul Saw yang mulia didampingi kedua sahabatnya sekaligus mertuanya iaitu Abu Bakar Siddiq ra, dan Umar bin Khattab ra.

Tempat tersebut dahulunya adalah rumah baginda Rasul Saw kerana setiap Rasul yang diutus oleh Allah Swt dimakamkan di mana dia wafat. Sebagaimana sabda Nabi Saw: Tidak dicabut nyawa seorang Nabi pun melainkan dikebumikan dimana dia wafat. (HR. Ibnu Majah)

Sejarah bercerita, ketika Nabi sampai di Madinah, pertama sekali dikerjakan Nabi Saw adalah membina Masjid Nabawi dengan membeli tanah berharga 10 dinar kepunyaan dua orang anak yatim Sahl dan Suhail berukuran 3 x 30 m.

Bangunan yang sederhana itu hanya berdindingkan tanah yang dikeringkan, bertiangkan pohon kurma dan beratapkan pelepah kurma. Sebelah Timur bangunan Masjid Nabawi dibina rumah Nabi Saw.

Manakala di sebelah Barat dibina ruangan untuk orang-orang miskin dari kaum Muhajirin yang pada akhirnya tempat itu dikenali dengan tempat ahli Suffah (kerana mereka tidur berbantalkan pelana kuda).

Pada tahun ke-7 H, Nabi mengadakan perluasan Masjid Nabawi ke arah Timur, Barat, dan Utara sehingga berbentuk bujursangkar 45 x 45 m dengan luas mencapai 2.025 m2 .

Program jangka panjang untuk memperluas Masjid Nabawi seperti yang kita lihat sekarang ini diisyaratkan oleh Nabi Saw dengan sabdanya menjelang wafat: “Selayaknya kita memperluas masjid ini”.

Hingga pada tahun ke-17 H, Amirul Mukminin Umar bin Khattab khalifah kedua, memperluas ke arah Selatan dan Barat masing-masing 5 m dan ke Utara 15 m, dan diteruskan oleh Usman bin Affan khalifah ketiga memperluas ke arah Selatan, Utara dan Barat masing-masing 5 m pada tahun ke-29 H.


Akhirnya pada masa Khalifah Bani Umayyah Al-Walid bin Abdul Malik pada tahun 88 H, memperluas ke semua sisi Masjid Nabawi termasuk ke arah Timur (rumah Nabi) dan bilik-bilik isteri Nabi (hujurat) sehingga makam Nabi Muhammad Saw, Abu Bakar Siddiq, dan Umar bin Khattab termasuk sebahagian dari masjid dan berada di dalam masjid yang sebelumnya terpisah dari masjid.

Inilah yang menjadi perbahasan para ulama dan fukaha di dalam Fikih Islam, iaitu mendirikan bagunan seperti rumah kubah, madrasah, dan masjid di atas kubur. Kerana Nabi Saw bersabda : Allah mengutuk umat Yahudi dan Nasrani yang membuat kubur para nabi mereka menjadi masjid-masjid (tempat peribadatan). (HR. Bukhari Muslim)

Hadis di atas difahami oleh sebahagian ulama terutama di kalangan pengikut Syekh Muhammad bin Abdul Wahab (Th. 1115 H/ 1703 M di Masjid Saudi Arabia, dan aliran ini disebut oleh saingannya sebagai aliran Wahabiyah, dan di Indonesia dengan aliran Salafi).

Secara umum, tidak boleh melakukan kegiatan ibadah di atas kubur, berdoa menghadap kubur, dan membina kubah di atas kuburan.

Terakhir ada seorang manusia yang memanjat kubah hijau Masjid Nabawi untuk dihancurkan, lalu disambar petir secara tiba-tiba dan mati. Mayatnya melekat pada kubah hijau tersebut dan tidak dapat diturunkan sehingga sekarang.

Syekh Zubaidy, ahli sejarah Madinah menceritakan ada seorang soleh di kota Madinah bermimpi, dan terdengar suara yang mengatakan “Tidak ada seorang pun yang dapat menurunkan mayat tersebut, agar orang yang di kemudian hari dapat mengambil, i’tibar”.

Hingga sekarang mayat tersebut masih ada dan dapat disaksikan terus dengan mata kepala. Bagi yang tidak dapat berkunjung ke sana dapat mengakses internet google “Ada Mayat di atas Kubah Masjid Nabawi”.

Pengajaran yang dapat diambil dari kisah ini, terlepas dari kebenarannya, bahwa kembali kepada Tauhid yang murni seperti zaman Rasul Saw adalah tujuan dari dakwah Islam dan misi para Rasul dan umat Islam mesti menerimanya, jika tidak ingin menjadi orang musyrik.

Akan tetapi pemeliharaan nilai sejarah dan para pelaku sejarah juga penting, kerana Allah berfirman : Sungguh di dalam sejarah mereka terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal. (QS. Yusuf : 111).

Akhirnya jika pelaku sejarah tidak boleh dikenang, tidak dimuliakan, tidak dihormati, kuburnya diratakan, bagaimana kita mengambil pelajaran dari sejarah tersebut?

Adapun maksud Nabi Saw Allah mengutuk Yahudi dan Nasrani menjadikan kubur sebagai tempat ibadah, adalah menyembah kubur. Semoga kita dapat pengajaran. Wallahua’lam

Monday, October 24, 2011

Kewajipan Bertudung Dan Menutup Aurat


Persoalan aurat ini telah diputuskan secara jelas oleh Allah Ta’ala dalam Al-Qur’an menerusi ayat hijab iaitu ayat 30 dan 31 Surah al-Nur yang bermaksud:
30.”Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
31. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…..” sehingga akhir terjemahan ayat ini.
Kehendak ayat ini adalah jelas, kecuali maksud “perhiasan tubuh yang zahir” itu. Allah tidak menerangkan maksudnya, begitu juga tiada hadis qawli (ucapan Nabi ) yang sahih tentangnya. Tetapi hadis iqrari (perakuan Nabi ) yang sahih amatlah banyak sekali, iaitu perakuan Nabi terhadap para Sahabiat (sahabat wanita) yang semuanya bertudung setelah turun ayat hijab itu, seperti berikut:
* Pertamanya, hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah r.a.:
“Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya.”
* Kedua, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah bint Shaybah katanya:
“Ketika kami bersama ‘Aishah r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aishah menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw, seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.”
Lihat tentang tafsiran dua ayat dan dua hadis di atas dalam Muhd Ali al- Sabuni, Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, (percetakan Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t.)
* Dan ketiga, satu hadis yang tidak berapa sahih tentang tafsiran”perhiasan tubuh yang zahir” itu ialah yang diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada ‘Aishah r.a.:
Bahawa Asma’ bint Abi Bakr (kakaknya) datang bertemu Nabi s.a.w. dalam keadaan pakaiannya nipis sehingga nampak kulit badannya, lalu Nabi s.a.w. pun berpaling daripadanya dan bersabda: “Wahai Asma’, seorang perempuan yang telah sampai haidh (baligh) tidak boleh dilihat (hendaklah bertutup) pada badannya melainkan ini dan ini” (sambil baginda menunjukkan ke arah wajah dan kedua pergelangan tangannya).
Dalam mentafsirkan ayat al-Qur’an yang bermaksud “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka”. Prof. Dr. Hamka, dalam buku Tafsir Al-Azhar jld. 7 menjelaskan bahawa :
‘Peringatan kepada perempuan, selain menjaga penglihatan mata dan memelihara kemaluan, ditambah lagi iaitu janganlah dipertontonkan perhiasan mereka kecuali yang nyata sahaja. Cincin di jari, muka dan tangan, itulah perhiasan yang nyata. Ertinya yang sederhana dan tidak menyolok dan menganjurkan. Kemudian diterangkan pula bahawa hendaklah selendang (kudung) yang telah memang tersedia ada di kepala itu ditutupkan ke dada’.
Dalam mentafsirkan ayat yang sama, Ahmad Mustafa Al-Maraghiy dalam kitabnya Tafsir Al-Maraghiy jld.9 pula menjelaskan bahawa :
“Begitu juga setiap wanita hendaklah tidak menampakkan sedikitpun perhiasannya terhadap lelaki yang bukan muhrim, kecuali perhiasan yang biasa nampak dan tidak mungkin dapat disembunyikan, seperti cincin, celak mata dan lipstik. Dalam hal ini mereka tidak akan mendapat kesalahan. Kecualilah jika mereka menampakkan perhiasan yang patut disembunyikan seperti gelang tangan, gelang kaki, kalung mahkota, selempang dan anting-anting kerana semua perhiasan ini terletak pada bahagian tubuh (pergelangan tangan, betis, leher, kepala, dada dan telinga) yang haram dipandang kecuali oleh orang yang dibenarkan untuk melihatnya.
Setelah melarang daripada menampakkan perhiasan, Allah Ta’ala selanjutnya memerintahkan agar menyembunyikan sebahagian tempat perhiasan pada anggota tubuh itu di mana mereka hendaklah melabuhkan tudung kepala ke dada bahagian atas hingga di bawah leher, supaya dengan yang demikian mereka dapat menutupi rambut, leher dan dadanya, sehingga tidak sedikitpun dapat dilihat oleh orang lain. Seringkali wanita menutupkan sebahagian tudungnya ke kepala dan sebahagian lagi dilabuhkan ke punggung sehingga nampak pangkal leher serta sebahagian dadanya seperti yang telah menjadi adat jahiliyyah. Dari itu mereka dilarang berbuat demikian”.
Daripada kedua-dua tafsiran ini jelaslah bahawa seorang wanita yang beriman itu wajib memakai tudung dan menutup aurat serta perhiasan-perhiasan yang terletak pada bahagian tubuh yang wajib disembunyikan daripada pandangan orang yang bukan muhrim kecuali pada muka dan kedua-dua pergelangan tangan yang merupakan perhiasan yang nyata bagi mereka.
Seterusnya, Allah Ta’ala turut menegaskan lagi mengenai kewajipan ini dalam Al-Qur’an Al-Karim menerusi ayat 59 Surah al-Ahzab yang bermaksud:
“Wahai nabi (Muhammad), suruhlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan wanita-wanita beriman agar melabuhkan jilbab (pakaian bagi menutup seluruh tubuh) mereka (semasa mereka keluar), cara yang demikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani (terhadap dosa kamu di masa lalu).”
Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata, “Allah s.w.t. memerintahkan NabiNya supaya menyuruh isteri, anak dan wanita beriman agar mereka melabuhkan jilbab mereka supaya mereka berbeza dengan wanita jahiliyyah (yang tidak menutup aurat), dan jilbab ialah kain yang dipakai di atas tudung kepala…” (Lihat Muhd ‘Ali al-Sabuni, Mukhtasar Tafsir ibn Kathir, Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t.)
Berdasarkan tafsiran ini, makna jilbab yang paling tepat dalam konteks hari ini ialah cadur, seperti yang dipakai oleh wanita Iran itu. Bagaimanapun jilbab yang difahami dan dipakai oleh wanita Islam Melayu sekarang pun telah mencapai maksud ayat tadi, iaitu supaya mereka dikenal sebagai wanita solehah dan tidak berani diganggu oleh lelaki fasiq pada kebiasaannya. Jilbab itu hendaklah labuh sedikit sehingga menutup bentuk dada mereka dan lebih baik lagi sehingga menutup paras punggung mereka. Ini kerana antara tempat yang paling menarik perhatian dan menjadi bualan lelaki-lelaki fasiq ialah dua tempat sensitif itu. Maka perlulah tutup lebih sedikit berbanding betis dan lengan. Perkara inilah yang wajib difahami oleh wanita-wanita yang mulia, terhormat dan mempunyai harga diri.
Adapun wanita yang tidak bercita-cita sedemikian, maka mereka mencipta pelbagai alasan untuk mengharuskan pendedahan aurat atau perhiasan sulit (bukan zahir) mereka. Namun para pendakwah perlulah berhikmah dan beransur-ansur dalam pendekatan mereka. Jangan menghentam, menyerang dan menghina wanita Islam yang belum dihidayatkan Allah itu.
Berilah galakan kepada mereka dan puji-pujilah mereka bahawa mereka kelihatan lebih cantik dan menawan bila mereka menutup aurat. Mudah-mudahan pujian tersebut dapat melembutkan hati mereka untuk bertudung dan menutup aurat dengan sempurna. Namun, pendekatan beransur-ansur itu bukan bermakna mengatakan mendedah rambut tidak berdosa. Ini adalah pernyataan yang salah dan menyeleweng daripada tuntutan syariat Allah dan Rasul-Nya.
Cara menutup aurat seperti yang diterangkan tadi adalah wajib bagi setiap wanita Islam bermula sejak mereka baligh sehingga mencapai usia yang tiada keinginan untuk berkahwin/bersuami lagi (menopaus). Bila mereka telah mencapai usia menopaus dan tiada keinginan lagi, maka ketika itu ada kelonggaran untuk mereka tidak menutup rambut dengan syarat tidak bersolek.
Jika mereka masih bersolek dan berpakaian seksi, maka dakwaan bahawa mereka tiada keinginan adalah tidak diterima, kerana lazimnya tujuan solek dan pakaian seksi itu adalah untuk menarik perhatian dan mencari pasangan. Walau bagaimanapun, kekal beriltizam dengan cara menutup aurat yang sempurna itu adalah lebih baik bagi mereka, walaupun sesudah tiada keinginan. Hukum ini berdasarkan ayat 60 Surah al-Nur.
Wallahu’alam.



Sumber:http://www.uptomu.net/2011/09/kewajipan-bertudung-dan-menutup-aurat.html

Wednesday, October 12, 2011

Ringkasan Solat Jamak dan Qasar


Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah
bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah- Nya.
(Riwayat al-Nasa'i dan Abu Daud)

Perbezaan di antara Jamak dan Qasar ialah:
Jamak menghimpunkan dua solat yang tertentu dalam satu waktu yang
tertentu. Contohnya solat Zuhur dan Asar, atau solat Maghrib dan Isyak.
Qasar memendekkan rakaat solat dari 4 rakaat menjadi 2 rakaat (hanya
solat Isyak, Zuhur dan Asar sahaja yang boleh diqasarkan).


Berikut adalah ringkasan mengenai solat Jamak dan Qasar sebagai panduan
anda:
Panduan Dan Syarat Solat Qasar Dan Jamak
1. Solat Qasar
* Hukum Qasar
Harus berdasarkan kepada dalil berikut:
1. Al-Quran surah al-Nisa ayat 101, maksudnya;
Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa
mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang
kafir.
* Jarak Dibenarkan Qasar
Dua marhalah (lebih kurang 90 kilometer).
* Syarat Solat Qasar
1. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara.
2. Jarak perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (90
kilometer).
3. Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
4. Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna/jemaah tempatan).
5. Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat
rakaat.
2. Solat Jamak
* Pengertian
Makna Jamak ialah menghimpunkan.
*Solat Jamak terbahagi kepada 2:
1. Jamak Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam
waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya' dalam waktu Maghrib.
2.Jamak Ta'khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam
waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya' dalam waktu Isya'.
* Syarat Solat Jamak
1. Solat Jamak Taqdim
i.Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur
daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
ii.Hendaklah niat Jamak Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam
tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
iii.Berturut-turut di antara solat yang dijamakkan itu.
iv.Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram
solat yang kedua.
v.Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib)
berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya').
2. Solat Jamak Ta'khir
i.Hendaklah berniat jamak dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau
Maghrib.
ii.Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat
yang kedua.
* Niat Solat Jamak Dan Qasar
Jamak Taqdim:
a. Melakukan solat asar dalam waktu Zuhur
Lakukan solat zuhur 2 rakaat selepas itu di ikuti pula solat asar 2 rakaat.
Niat untuk solat zuhur ialah:
"Sahaja aku solat fardu zuhur 2 rakaat qasar dengan jamak takdim kerana
Allah Taala".
Niat untuk solat Asar:
"Sahaja aku solat fardu asar 2 rakaat qasar dengan jamak takdim kerana
Allah Ta'ala".
b. Melakukan solat Isyak dalam waktu Maghrib.
Niat untuk solat magrib:
"Sahaja aku solat fardu maghrib 3 rakaat dijamakkan fardu isyak dengan
jamak takdim kerana Allah Ta'ala".
Niat untuk solat Isyak:
"Sahaja aku solat fardu isyak 2 rakaat qasar dijamakkan fardu magrib
dengan jamak takdim kerana Allah Tallah".
2. Jamak Ta'khir:
a. Melakukan solat zuhur dalam waktu asar.
Dengan syarat kita mesti niatkan dahulu dalam hati sebelum habis waktu
zuhur iaitu: "Aku nak jamakkan solat zuhur dalam waktu asar"
Lakukan solat asar 2 rakaat selepas itu di ikuti pula solat zuhur 2 rakaat.
Niat untuk solat Asar:
"Sahaja aku solat fardu asar 2 rakaat qasar dengan jamak takhir kerana
Allah Taala".
Niat untuk solat Zuhur:
"sahaja aku solat fardu zuhur 2 rakaat qasar dengan jamak takhir kerana
Allah Talla".
b. Melakukan solat Maghrib dalam waktu Isyak.
Dengan syarat kita mesti niatkan dahulu dalam hati sebelum habis waktu
Maghrib:
Aku nak jamakkan solat Maghrib dalam waktu Isyak"
Lakukan solat Isyak 2 rakaat selepas itu di ikuti pula solat Maghrib 3
rakaat.
Solat Maghrib tidak boleh diqasarkan (dipendekkan). Ia tetap 3 rakaat.
Niat untuk solat Isyak:
"Sahaja aku solat fardu isyak 2 rakaat qasar dijamakkan fardu magrib
dengan jamak ta'khir kerana Allah Tallah".
Niat untuk solat Maghrib:
"Sahaja aku solat fardu maghrib 3 rakaat dijamakkan fardu isyak dengan
jamak ta'khir kerana Allah Talla".
* Peringatan:
1. Solat Subuh tidak boleh dijamak dan diqasarkan.
2. Jika berhenti di sesebuah tempat, tempoh yang dibenarkan untuk
melakukan Jamak dan Qasar hanya 3 hari dan 2 malam sahaja. Jika lebih,
perlu bersolat seperti biasa (solat sempurna/tam)
Pendapat tersebut kurang tepat. Sila perhatikan syarat-syarat yang
membolehkan seseorang itu melakukan Jamak dan Qasar. Jika dia telah
memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan, dia layak melakukan jamak
tersebut. yang pentingnya, dia tidak menetap/tinggal di kampung halamannya
itu. Ringkasnya, dia tidak bermuqim atau bermastautin di tempat tersebut.
Sebagai contoh, seseorang yang dilahirkan di Kluang, Johor dan bekerja di
Putrajaya (menetap di Putrajaya), apabila dia pulang ke Kluang (balik
bercuti), dia layak untuk melakukan Jamak dan Qasar di Kluang dengan
syarat tidak melebihi tempoh 3 hari dan 2 malam ketika berada di Kluang.
Selepas tempoh tersebut, dia sudah tidak layak untuk melakukan Jamak dan
Qasar tersebut. wallahu 'alam.