Monday, October 24, 2011

Kewajipan Bertudung Dan Menutup Aurat


Persoalan aurat ini telah diputuskan secara jelas oleh Allah Ta’ala dalam Al-Qur’an menerusi ayat hijab iaitu ayat 30 dan 31 Surah al-Nur yang bermaksud:
30.”Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
31. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…..” sehingga akhir terjemahan ayat ini.
Kehendak ayat ini adalah jelas, kecuali maksud “perhiasan tubuh yang zahir” itu. Allah tidak menerangkan maksudnya, begitu juga tiada hadis qawli (ucapan Nabi ) yang sahih tentangnya. Tetapi hadis iqrari (perakuan Nabi ) yang sahih amatlah banyak sekali, iaitu perakuan Nabi terhadap para Sahabiat (sahabat wanita) yang semuanya bertudung setelah turun ayat hijab itu, seperti berikut:
* Pertamanya, hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah r.a.:
“Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya.”
* Kedua, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah bint Shaybah katanya:
“Ketika kami bersama ‘Aishah r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aishah menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw, seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.”
Lihat tentang tafsiran dua ayat dan dua hadis di atas dalam Muhd Ali al- Sabuni, Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, (percetakan Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t.)
* Dan ketiga, satu hadis yang tidak berapa sahih tentang tafsiran”perhiasan tubuh yang zahir” itu ialah yang diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada ‘Aishah r.a.:
Bahawa Asma’ bint Abi Bakr (kakaknya) datang bertemu Nabi s.a.w. dalam keadaan pakaiannya nipis sehingga nampak kulit badannya, lalu Nabi s.a.w. pun berpaling daripadanya dan bersabda: “Wahai Asma’, seorang perempuan yang telah sampai haidh (baligh) tidak boleh dilihat (hendaklah bertutup) pada badannya melainkan ini dan ini” (sambil baginda menunjukkan ke arah wajah dan kedua pergelangan tangannya).
Dalam mentafsirkan ayat al-Qur’an yang bermaksud “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka”. Prof. Dr. Hamka, dalam buku Tafsir Al-Azhar jld. 7 menjelaskan bahawa :
‘Peringatan kepada perempuan, selain menjaga penglihatan mata dan memelihara kemaluan, ditambah lagi iaitu janganlah dipertontonkan perhiasan mereka kecuali yang nyata sahaja. Cincin di jari, muka dan tangan, itulah perhiasan yang nyata. Ertinya yang sederhana dan tidak menyolok dan menganjurkan. Kemudian diterangkan pula bahawa hendaklah selendang (kudung) yang telah memang tersedia ada di kepala itu ditutupkan ke dada’.
Dalam mentafsirkan ayat yang sama, Ahmad Mustafa Al-Maraghiy dalam kitabnya Tafsir Al-Maraghiy jld.9 pula menjelaskan bahawa :
“Begitu juga setiap wanita hendaklah tidak menampakkan sedikitpun perhiasannya terhadap lelaki yang bukan muhrim, kecuali perhiasan yang biasa nampak dan tidak mungkin dapat disembunyikan, seperti cincin, celak mata dan lipstik. Dalam hal ini mereka tidak akan mendapat kesalahan. Kecualilah jika mereka menampakkan perhiasan yang patut disembunyikan seperti gelang tangan, gelang kaki, kalung mahkota, selempang dan anting-anting kerana semua perhiasan ini terletak pada bahagian tubuh (pergelangan tangan, betis, leher, kepala, dada dan telinga) yang haram dipandang kecuali oleh orang yang dibenarkan untuk melihatnya.
Setelah melarang daripada menampakkan perhiasan, Allah Ta’ala selanjutnya memerintahkan agar menyembunyikan sebahagian tempat perhiasan pada anggota tubuh itu di mana mereka hendaklah melabuhkan tudung kepala ke dada bahagian atas hingga di bawah leher, supaya dengan yang demikian mereka dapat menutupi rambut, leher dan dadanya, sehingga tidak sedikitpun dapat dilihat oleh orang lain. Seringkali wanita menutupkan sebahagian tudungnya ke kepala dan sebahagian lagi dilabuhkan ke punggung sehingga nampak pangkal leher serta sebahagian dadanya seperti yang telah menjadi adat jahiliyyah. Dari itu mereka dilarang berbuat demikian”.
Daripada kedua-dua tafsiran ini jelaslah bahawa seorang wanita yang beriman itu wajib memakai tudung dan menutup aurat serta perhiasan-perhiasan yang terletak pada bahagian tubuh yang wajib disembunyikan daripada pandangan orang yang bukan muhrim kecuali pada muka dan kedua-dua pergelangan tangan yang merupakan perhiasan yang nyata bagi mereka.
Seterusnya, Allah Ta’ala turut menegaskan lagi mengenai kewajipan ini dalam Al-Qur’an Al-Karim menerusi ayat 59 Surah al-Ahzab yang bermaksud:
“Wahai nabi (Muhammad), suruhlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan wanita-wanita beriman agar melabuhkan jilbab (pakaian bagi menutup seluruh tubuh) mereka (semasa mereka keluar), cara yang demikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani (terhadap dosa kamu di masa lalu).”
Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata, “Allah s.w.t. memerintahkan NabiNya supaya menyuruh isteri, anak dan wanita beriman agar mereka melabuhkan jilbab mereka supaya mereka berbeza dengan wanita jahiliyyah (yang tidak menutup aurat), dan jilbab ialah kain yang dipakai di atas tudung kepala…” (Lihat Muhd ‘Ali al-Sabuni, Mukhtasar Tafsir ibn Kathir, Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t.)
Berdasarkan tafsiran ini, makna jilbab yang paling tepat dalam konteks hari ini ialah cadur, seperti yang dipakai oleh wanita Iran itu. Bagaimanapun jilbab yang difahami dan dipakai oleh wanita Islam Melayu sekarang pun telah mencapai maksud ayat tadi, iaitu supaya mereka dikenal sebagai wanita solehah dan tidak berani diganggu oleh lelaki fasiq pada kebiasaannya. Jilbab itu hendaklah labuh sedikit sehingga menutup bentuk dada mereka dan lebih baik lagi sehingga menutup paras punggung mereka. Ini kerana antara tempat yang paling menarik perhatian dan menjadi bualan lelaki-lelaki fasiq ialah dua tempat sensitif itu. Maka perlulah tutup lebih sedikit berbanding betis dan lengan. Perkara inilah yang wajib difahami oleh wanita-wanita yang mulia, terhormat dan mempunyai harga diri.
Adapun wanita yang tidak bercita-cita sedemikian, maka mereka mencipta pelbagai alasan untuk mengharuskan pendedahan aurat atau perhiasan sulit (bukan zahir) mereka. Namun para pendakwah perlulah berhikmah dan beransur-ansur dalam pendekatan mereka. Jangan menghentam, menyerang dan menghina wanita Islam yang belum dihidayatkan Allah itu.
Berilah galakan kepada mereka dan puji-pujilah mereka bahawa mereka kelihatan lebih cantik dan menawan bila mereka menutup aurat. Mudah-mudahan pujian tersebut dapat melembutkan hati mereka untuk bertudung dan menutup aurat dengan sempurna. Namun, pendekatan beransur-ansur itu bukan bermakna mengatakan mendedah rambut tidak berdosa. Ini adalah pernyataan yang salah dan menyeleweng daripada tuntutan syariat Allah dan Rasul-Nya.
Cara menutup aurat seperti yang diterangkan tadi adalah wajib bagi setiap wanita Islam bermula sejak mereka baligh sehingga mencapai usia yang tiada keinginan untuk berkahwin/bersuami lagi (menopaus). Bila mereka telah mencapai usia menopaus dan tiada keinginan lagi, maka ketika itu ada kelonggaran untuk mereka tidak menutup rambut dengan syarat tidak bersolek.
Jika mereka masih bersolek dan berpakaian seksi, maka dakwaan bahawa mereka tiada keinginan adalah tidak diterima, kerana lazimnya tujuan solek dan pakaian seksi itu adalah untuk menarik perhatian dan mencari pasangan. Walau bagaimanapun, kekal beriltizam dengan cara menutup aurat yang sempurna itu adalah lebih baik bagi mereka, walaupun sesudah tiada keinginan. Hukum ini berdasarkan ayat 60 Surah al-Nur.
Wallahu’alam.



Sumber:http://www.uptomu.net/2011/09/kewajipan-bertudung-dan-menutup-aurat.html

Wednesday, October 12, 2011

Ringkasan Solat Jamak dan Qasar


Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah
bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah- Nya.
(Riwayat al-Nasa'i dan Abu Daud)

Perbezaan di antara Jamak dan Qasar ialah:
Jamak menghimpunkan dua solat yang tertentu dalam satu waktu yang
tertentu. Contohnya solat Zuhur dan Asar, atau solat Maghrib dan Isyak.
Qasar memendekkan rakaat solat dari 4 rakaat menjadi 2 rakaat (hanya
solat Isyak, Zuhur dan Asar sahaja yang boleh diqasarkan).


Berikut adalah ringkasan mengenai solat Jamak dan Qasar sebagai panduan
anda:
Panduan Dan Syarat Solat Qasar Dan Jamak
1. Solat Qasar
* Hukum Qasar
Harus berdasarkan kepada dalil berikut:
1. Al-Quran surah al-Nisa ayat 101, maksudnya;
Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa
mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang
kafir.
* Jarak Dibenarkan Qasar
Dua marhalah (lebih kurang 90 kilometer).
* Syarat Solat Qasar
1. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara.
2. Jarak perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (90
kilometer).
3. Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
4. Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna/jemaah tempatan).
5. Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat
rakaat.
2. Solat Jamak
* Pengertian
Makna Jamak ialah menghimpunkan.
*Solat Jamak terbahagi kepada 2:
1. Jamak Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam
waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya' dalam waktu Maghrib.
2.Jamak Ta'khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam
waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya' dalam waktu Isya'.
* Syarat Solat Jamak
1. Solat Jamak Taqdim
i.Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur
daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
ii.Hendaklah niat Jamak Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam
tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
iii.Berturut-turut di antara solat yang dijamakkan itu.
iv.Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram
solat yang kedua.
v.Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib)
berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya').
2. Solat Jamak Ta'khir
i.Hendaklah berniat jamak dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau
Maghrib.
ii.Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat
yang kedua.
* Niat Solat Jamak Dan Qasar
Jamak Taqdim:
a. Melakukan solat asar dalam waktu Zuhur
Lakukan solat zuhur 2 rakaat selepas itu di ikuti pula solat asar 2 rakaat.
Niat untuk solat zuhur ialah:
"Sahaja aku solat fardu zuhur 2 rakaat qasar dengan jamak takdim kerana
Allah Taala".
Niat untuk solat Asar:
"Sahaja aku solat fardu asar 2 rakaat qasar dengan jamak takdim kerana
Allah Ta'ala".
b. Melakukan solat Isyak dalam waktu Maghrib.
Niat untuk solat magrib:
"Sahaja aku solat fardu maghrib 3 rakaat dijamakkan fardu isyak dengan
jamak takdim kerana Allah Ta'ala".
Niat untuk solat Isyak:
"Sahaja aku solat fardu isyak 2 rakaat qasar dijamakkan fardu magrib
dengan jamak takdim kerana Allah Tallah".
2. Jamak Ta'khir:
a. Melakukan solat zuhur dalam waktu asar.
Dengan syarat kita mesti niatkan dahulu dalam hati sebelum habis waktu
zuhur iaitu: "Aku nak jamakkan solat zuhur dalam waktu asar"
Lakukan solat asar 2 rakaat selepas itu di ikuti pula solat zuhur 2 rakaat.
Niat untuk solat Asar:
"Sahaja aku solat fardu asar 2 rakaat qasar dengan jamak takhir kerana
Allah Taala".
Niat untuk solat Zuhur:
"sahaja aku solat fardu zuhur 2 rakaat qasar dengan jamak takhir kerana
Allah Talla".
b. Melakukan solat Maghrib dalam waktu Isyak.
Dengan syarat kita mesti niatkan dahulu dalam hati sebelum habis waktu
Maghrib:
Aku nak jamakkan solat Maghrib dalam waktu Isyak"
Lakukan solat Isyak 2 rakaat selepas itu di ikuti pula solat Maghrib 3
rakaat.
Solat Maghrib tidak boleh diqasarkan (dipendekkan). Ia tetap 3 rakaat.
Niat untuk solat Isyak:
"Sahaja aku solat fardu isyak 2 rakaat qasar dijamakkan fardu magrib
dengan jamak ta'khir kerana Allah Tallah".
Niat untuk solat Maghrib:
"Sahaja aku solat fardu maghrib 3 rakaat dijamakkan fardu isyak dengan
jamak ta'khir kerana Allah Talla".
* Peringatan:
1. Solat Subuh tidak boleh dijamak dan diqasarkan.
2. Jika berhenti di sesebuah tempat, tempoh yang dibenarkan untuk
melakukan Jamak dan Qasar hanya 3 hari dan 2 malam sahaja. Jika lebih,
perlu bersolat seperti biasa (solat sempurna/tam)
Pendapat tersebut kurang tepat. Sila perhatikan syarat-syarat yang
membolehkan seseorang itu melakukan Jamak dan Qasar. Jika dia telah
memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan, dia layak melakukan jamak
tersebut. yang pentingnya, dia tidak menetap/tinggal di kampung halamannya
itu. Ringkasnya, dia tidak bermuqim atau bermastautin di tempat tersebut.
Sebagai contoh, seseorang yang dilahirkan di Kluang, Johor dan bekerja di
Putrajaya (menetap di Putrajaya), apabila dia pulang ke Kluang (balik
bercuti), dia layak untuk melakukan Jamak dan Qasar di Kluang dengan
syarat tidak melebihi tempoh 3 hari dan 2 malam ketika berada di Kluang.
Selepas tempoh tersebut, dia sudah tidak layak untuk melakukan Jamak dan
Qasar tersebut. wallahu 'alam.